NGA Kor Ming (tiga kanan) menyampaikan replika kunci kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Hasleen Isnin (dua kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
NGA Kor Ming (tiga kanan) menyampaikan replika kunci kepada penerima ketika Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Hasleen Isnin (dua kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bermula bulan lalu, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci RMR di sini hari ini, beliau berkata, ini akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memohon RMR.

"Pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web SPNB dan tiada lagi permohonan melalui ejen, ia dibuat secara telus dan tidak ada lagi ejen kutip bayaran," katanya.

Nga berkata, antara inisiatif baru RMR adalah tempoh bayaran bulanan dipanjangkan antara 16 hingga 25 tahun dengan bayaran bulanan kekal RM300, selain pemohon boleh memilih enam reka bentuk ditawarkan SPNB dan memilih reka bentuk dalaman yang sesuai dengan gaya hidup masing-masing seperti mengekalkan tiga bilik atau diubah menjadi dua bilik.

"Selain reka bentuk rumah yang moden dan berdaya huni, SPNB juga dalam usaha mendapatkan sijil pengiktirafan daripada SIRIM sebagai piawaian kualiti yang diakui di peringkat antarabangsa bagi semua unit yang dibinanya," katanya.

Sejak 2002 hingga bulan lalu, SPNB menyiapkan 56,002 unit RMR di seluruh negara.

Nga berkata dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan subsidi pembinaan rumah sebanyak RM358 juta kepada SPNB untuk membina 4,250 unit RMR tahun ini pada harga kos bermula RM75,000 seunit.

Terdahulu, Nga menyerahkan surat tawaran dan kunci rumah kepada 40 penerima program RMR dari Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:51 PM