Siti Rohana Idris


Tumpat: Mangsa kebakaran rumah di Kampung Masjid, di sini pada 1 Ramadan lalu sebak dan terharu apabila nasibnya mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tampil menyampaikan sumbangan.

Bantuan yang diterima sebanyak RM10,000 menerusi Skim Bantuan Bencana Alam di bawah tabung JHEV itu diterima Mohamad Nor Mat, 72, pesara Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD).

Dalam kejadian 3 April lalu, lima rumah termasuk bengkel memproses keropok milik Mohamad hangus 100 peratus menyebabkan penghuninya empat keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Mohamad berkata, sejak kejadian dua bulan lalu, mereka sekeluarga tidak mempunyai sumber pendapatan kerana perusahaan yang diusahakan sejak 10 tahun lalu terhenti dan kerugian lebih RM200,000.

"Hasrat kami ingin membina rumah baharu di tanah milik isteri di Kampung Dalam Rhu dan bercadang menjadikan rumah anak sekarang bengkel membuat keropok kerana tapak asal yang terbakar itu adalah milik individu lain.

Jeneral Abu Hasan Ass' haari Kamis (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000,00 kepada Nor Mat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Jeneral Abu Hasan Ass' haari Kamis (dua kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000,00 kepada Nor Mat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Kami berasa lega kerana mendapat bantuan JHEV yang bukan sahaja menyumbangkan kewangan tapi juga akan mungkin akan membina rumah baharu untuk kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohamad bersara pada 1994 dan kali terakhir bertugas di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur selepas 21 tahun berkhidmat dalam tentera.

Penyampaian replika cek disempurnakan Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Abu Hasan Ass'haari Kamis.

Abu Hasan berkata, pihaknya bersama JHEV sentiasa mengambil berat dan memantau perkembangan veteran tentera bagi memastikan segala keperluan yang diperlukan dapat disampaikan.

Untuk keperluan Mohamad, beliau akan cadangkan untuk pembinaan semula kediaman keluarga itu di bawah Program Jiwa Murni yang turut mendapat kerjasama daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan BHPetrol.

"Kita akan panjangkan perkara ini untuk pembinaan semula rumah Mohamad yang hangus di bawah Program Jiwa Murni

"Tahun lalu sebanyak dua rumah yang dibina baharu dan 27 dibaik pulih menerusi program itu dan kita harapkan permohonan untuk keluarga Mohamad ini dapat dipertimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 1:05 PM