Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pemuda dan remaja etnik Rohingya didakwa dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan jenayah seksual termasuk rogol dan seks luar tabii terhadap pelajar di dalam sebuah kereta, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 27, dan pelajar sekolah swasta berusia 14 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut dua pertuduhan, Mohamad Osman didakwa merogol serta melakukan serangan seksual terhadap perempuan berusia 15 tahun tujuh bulan tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kereta Proton Preve di kawasan lapang Pantai Klebang, dekat sini, pada 14 September lalu, kira-kira jam 5.30 petang.

Bagi tuduhan rogol tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Pertuduhan kedua dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 4 yang bersidang sebagai Mahkamah Juvana, tertuduh berusia 14 tahun itu turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan amang seksual fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama pada tarikh, masa dan di tempat sama.

Bagi pertuduhan amang seksual dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 sementara, kesalahan persetubuhan luar tabii adalah berdasarkan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Seksyen 14(a) AKSTK 2017 memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 377C membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal melakukan pendakwaan manakala tertuduh, masing-masing diwakili peguam Omar Zulkarnain dan Mohamed Musthafa.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun peguam merayu budi bicara mahkamah membenarkannya.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Mohd Sabri dan Sharda Shienha membenarkan tertuduh masing-masing dilepaskan dengan jaminan RM20,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin serta dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa dan keluarga.

Mahkamah juga menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan mendapatkan laporan kimia dan perubatan penuh mangsa.

Harian Metro semalam melaporkan seorang remaja perempuan dirogol bergilir-gilir oleh dua lelaki Rohingya yang baru sehari dikenalinya ketika dibawa bersiar-siar menaiki sebuah kereta di kawasan Klebang dekat sini, Jumaat lalu.

Perbuatan lelaki warga asing itu terbongkar selepas mangsa berusia 15 tahun itu ditemukan antara 2 dan 3 pagi di taman permainan di Batu Berendam, dekat sini, oleh rakan abangnya yang membantu mencari mangsa selepas mengetahui dia tidak pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 1:57 PM
MOHAMAD Osman tidak mengaku salah atas tuduhan merogol dan serangan seksual terhadap pelajar perempuan tingkatan 3, minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
MOHAMAD Osman tidak mengaku salah atas tuduhan merogol dan serangan seksual terhadap pelajar perempuan tingkatan 3, minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.