TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Farah Marshita Abdul Patah


GURU agama didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas tiga tuduhan melakukan seks luar tabii dan jenayah seksual terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Mohamad Ajmal Mohamed, 22, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mohamad Ajmal didakwa sebagai guru melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun dengan meletakkan tangan di kemaluan mangsa dan membuatkan mangsa menyentuh kemaluannya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Dia turut dituduh melakukan persetubuhan luar tabii dengan mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mohamad Ajmal dituduh melakukan semua kesalahan itu di sekolah tahfiz di Taman Keramat Permai, Keramat pada 10.30 malam, antara 19 April dan 8 Jun 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius selain dikhuatiri mengganggu mangsa yang juga seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Donny Abdullah memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan sudah direman selama 10 hari memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang menganggu mangsa dan saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 4:04 PM