BLAKE ketika operasi menyelamat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, tahun lalu. FOTO Bernama.
BLAKE ketika operasi menyelamat tragedi tanah runtuh di Batang Kali, tahun lalu. FOTO Bernama.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Blake, anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mati akibat barah limfoma selamat dikebumikan hari ini.

Jasadnya ditanam di Unit Pengesan JBPM (K9) Taman Seri Sentosa di sini dalam upacara tertutup yang dihadiri pegawai unit berkenaan.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM berkata, sebagai tanda penghormatan, pegawai menaburkan bunga di atas jasad dan pusara Blake.

"Seterusnya penghormatan terakhir diketuai oleh Pegawai Kanan Unit K9 JBPM dengan memberi tabik hormat dibarisi oleh pegawai-pegawai yang lain.

"Upacara dijalankan secara tertutup bagi menjaga sensitiviti pihak berkaitan," kata kenyataan itu.

Blake yang terbabit dengan pelbagai operasi penyelamatan, menarik perhatian ramai dan mula dikenali selepas tragedi tanah runtuh di Batang Kali, tahun lalu.

Anjing daripada disiplin Cadaver itu disahkan mengidap barah limfoma pada 15 Ogos lalu dan terpaksa ditidurkan pada jam 4.38 petang semalam selepas dimasukkan ke Wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), 14 September lalu.

Selain tragedi Batang Kali, Blake terbabit dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; Operasi SAR kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah dan SAR mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 12:59 PM