Khirudin memberi penghormatan terakhir terhadap Cliff, anjing pengesan JBPM yang ditanam di BBP Serian, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Khirudin memberi penghormatan terakhir terhadap Cliff, anjing pengesan JBPM yang ditanam di BBP Serian, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Serian: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Cliff, yang mati akibat barah pundi kencing dikebumikan hari ini.

Jasad anjing itu ditanam di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian di sini yang turut dihadiri Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman.

Khirudin berkata, Cliff wajar diberi penghormatan atas sumbangan besarnya sepanjang perkhidmatan di JBPM Sarawak.

Sebagai tanda penghormatan, bunga ditaburkan di atas pusara Cliff yang terletak berdekatan Unit K9 BBP Serian.

"Sejak berkhidmat di JBPM Sarawak pada 2018, Cliff terbabit dalam banyak operasi mencari orang hilang di hutan selain mencari mangsa lemas di sungai di seluruh Sarawak.

"Sumbangan anjing ini terlalu besar dalam kejayaan operasi yang dijalankan, justeru sewajarnya penghormatan diberikan kepadanya yang mati dalam perkhidmatan," katanya.

Cliff, anjing baka English Springer Spaniel dari Britain itu dilahirkan pada 1 Januari 2016 dan mati pada 25 Disember lalu.

Menurutnya dengan kematian Cliff yang diperoleh dengan kos RM124,000, JBPM Sarawak kini hanya memiliki lima anjing dengan hanya seekor lagi daripada disiplin Cadaver yang memiliki kepakaran seperti Cliff untuk mengesan orang hilang.

"Cliff sebenarnya mati pada usia di penghujung perkhidmatan kerana tahun ini kita akan melakukan penggantian anjing baru untuk memperkasakan perkhidmatan Unit K9 JBPM.

"Saya difahamkan JBPM diperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk proses penggantian anjing pengesan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 1:02 PM