GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Saufi Mansor

KERAP kali, malah saban hari kita dihidangkan baik di dada akhbar atau portal berita dengan kisah masyarakat menjadi mangsa penipuan atau dalam kata lain wang simpanan lesap.

Kerugian mereka bukan ribuan atau puluhan ribu ringgit, tetapi ada juga mencecah ratusan ribu mahupun jutaan ringgit.

Memetik kata-kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad pada sidang media di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

“Golongan mangsa bukannya calang-calang...ada yang doktor, pensyarah perubatan. Semuanya terkena dengan penipuan scammer, malah ada yang membuat transaksi mencecah RM12 juta,” katanya.

Secara logik, kita pasti sukar untuk mempercayai bagaimana mudahnya wang simpanan dikeluarkan dan dipindahkan ke akaun pihak lain yang tidak dikenali, selain tidak pernah pun bersua muka.

Tetapi, sindiket penipuan ini licik kerana mereka menggunakan taktik ‘menekan’ mangsa secara psikologi kononnya terbabit dalam kesalahan jenayah atau mempunyai masalah kewangan.

Dalam keadaan itu, mangsa sama ada berpelajaran tinggi atau sebaliknya akan terkejut atau panik lalu melayan dan mengikut saja arahan si penipu terbabit.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendedahkan nilai kerugian akibat kes jenayah komersial mencecah RM6.2 bilion dengan 25,000 kertas siasatan dibuka dari Januari hingga Disember tahun lalu.

Malah, sepanjang tempoh sama, polis menahan 15,000 individu di mana 65 peratus kes jenayah itu membabitkan pinjaman tidak wujud Macau Scam, Love Scam dan African Scam.

Berdasarkan siasatan polis mendapati scammer ini bekerja dalam keadaan mudah dengan hanya menggunakan Internet atau telefon sebagai medium untuk mencari mangsanya.

Hanya berinteraksi melalui alam maya, sindiket penipuan itu mampu mencari mangsa termasuk golongan profesional.

Mereka mungkin hanya mencuba nasib dan dalam 10 orang yang cuba ditipu, pasti akan ada seorang yang terpedaya.

Sebenarnya, taktik scammer yang berlaku kebelakangan ini mungkin boleh disifatkan sebagai jenayah ‘generasi baharu’ kerana sebelum ini terdapat juga kes penipuan yang ‘meleburkan’ wang orang ramai.

Sebagai contoh, sindiket gores dan menang yang pernah bermaharajalela dengan taktik menggores sekeping kad dan mangsa akan didakwa memenangi hadiah lumayan.

Tetapi, mangsa pula perlu membuat sejumlah bayaran bagi menuntut hadiah kononnya mahal, sebelum menyedari tertipu.

Satu lagi scam yang terkenal skim cepat kaya kerana kebanyakan mangsa sanggup bergolok gadai disebabkan dijanjikan kekayaan dalam sekelip mata.

Akibat gelap mata, ramai yang bertukar menjadi tamak hingga melabur banyak wang termasuk membuat pinjaman wang, tetapi akhirnya hanya mampu ‘tepuk dahi’ kerana terpedaya.

Selain itu, siapa tidak ingat sindiket Black Money yang didalangi warga Afrika hingga pernah menggemparkan negara.

Modus operandi mereka menggunakan keratan kertas hitam dolar Amerika Syarikat kononnya wang kertas tulen yang sengaja dihitamkan untuk diseludup keluar negara tanpa dikesan.

Mangsa yang mahu mencari keuntungan mudah akan terpedaya apabila menyerahkan sejumlah wang kononnya bagi membeli cecair kimia yang dikatakan ‘mahal’ sebelum suspek ‘menghilang.’

Secara sedar atau tidak, taktik penipu ini juga akan berubah mengikut peredaran zaman serentak perkembangan dunia teknologi maklumat yang pesat.

Kehadiran media sosial menjadi antara peluang terbuka untuk penipu ini dan sebab itu masyarakat perlu berhati-hati serta memperketatkan keselamatan perbankan masing-masing.

Dalam soal ini, seseorang itu jangan sesekali memberi butir peribadi atau maklumat akaun kepada orang lain terutama mereka yang tidak dikenali.

Malah, jangan percaya dengan panggilan telefon mendakwa pegawai polis, pegawai bank atau pegawai mahkamah memaklumkan akaun bank anda digunakan pihak lain.

Sebaiknya anda perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu jika menerima panggilan atau SMS meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipu seterusnya.


>>Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 11:24 AM