AHSMON menunjukkan gelung kabel serta peralatan yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Kuching. FOTO Melvin Joni
AHSMON menunjukkan gelung kabel serta peralatan yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Kuching. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kuching: Seorang bekas kontraktor Telekom Malaysia (TM) dan dua lagi ahli Geng Lan dicekup selepas aktif mencuri kabel di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata semua suspek berumur 19 hingga 26 tahun itu ditahan pasukan Counter Aggresive Team (CAT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Gita di kawasan rumah kedai di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim dan Jalan Setia Raja, di sini kira-kira jam 11.45 pagi, 3 Ogos lalu.

"Dengan tertumpasnya Geng Lan ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan 18 kes membabitkan kecurian kabel," katanya pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Beliau menambah kesemua suspek turut didapati positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine dan turut memiliki satu rekod membabitkan jenayah dadah dan sembilan rekod jenayah pecah rumah dan curi.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata pihaknya kini sedang memburu seorang lagi ahli Geng Lan itu yang dikenali sebagai Gege masih bebas dan disenaraikan sebagai individu dikehendaki.

Sementara, Ahsmon berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki iaitu pengurus kedai barangan lusuh di kawasan Jalan Setia Raja kerana dipercayai membeli kabel daripada suspek.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya merampas sebuah kenderaan Proton Saga, sebuah motosikal, sehelai baju berkolar berwarna jingga biru berlogo TM, segelung kabel berukuran lebih kurang 5.92 meter, pemotong kabel, tali penarik kabel, spanar yang diubah suai, empat keping resit jual beli serta peralatan-peralatan lain yang digunakan untuk mencuri kabel.

Katanya, nilai rampasan berkenaan dianggarkan sebanyak RM40,000 dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM200,000.

Ahsmon berkata, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Kuching pada 4 Ogos lalu dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 2:36 PM