Anthony Loke ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO BERNAMA
Anthony Loke ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengurusan Malaysia Airlines perlu melihat semula harga tiket yang ditawarkan kepada pelanggan susulan isu penyediaan perkhidmatan hidangan makanan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya turut melihat perkhidmatan makanan yang dibekalkan kepada pelanggan seharusnya ditambah baik.

"Ini kita tidak boleh nafikan... perlu ada penambahbaikan. Untuk harga (tiket), pihak pengurusan Malaysia Airlines perlu melihat (semula).

"Dalam perkara ini, pihak kerajaan tidak campur tangan dari segi harga tiket. Ini satu keputusan daripada syarikat dan kesan daripada pasaran.

"Saya rasa mereka juga mengambil kira pelbagai pertimbangan. Pandangan itu akan disampaikan (kepada pengurusan Malaysia Airlines) kerana aspek kepuasan hati pelanggan itu penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) ingin mengetahui mengapa Malaysia Airlines tidak bersedia dengan penukaran katerer yang dilihat mengganggu penerbangan dan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

Sebelum ini dilaporkan, kontrak katering yang lama terjalin antara syarikat itu dan Brahim's Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos lalu selepas rundingan antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak menghasilkan perjanjian yang baik.

Sementara itu, Loke dalam perbahasannya turut memaklumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan 50.29 peratus sehingga Ogos tahun ini.

"Tahun 2023 adalah tahun puncak pembinaan ECRL membabitkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen dan pemasangan landasan (track laying).

"Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan seperti jambatan yang menggunakan jentera beam launcher, kerja pengorekan, struktur dan pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:45 PM