Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti (SC) dikatakan sedang menjalankan siasatan dan meletakkan kes penipuan pelaburan patuh syariah yang membabitkan kerugian hampir RM1 bilion sebagai keutamaan.

Perkara itu dimaklumkan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) selepas mereka mengadakan pertemuan bersama Pengurus Besar Pejabat Pengguna dan Pelabur SC Jawahar Ali Ameer Ali, hari ini.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pada pertemuan itu, SC menyatakan komitmen untuk memastikan siasatan diteruskan dan tidak akan menutup kes.

"Saya juga bertanya adakah kes disiasat mengikut mana-mana akta di bawah SC dan jawapan diberikan bahawa masih dalam peringkat siasatan dan ia diletakkan sebagai 'top priority' (keutamaan).

"Bagaimanapun, jumlah mangsa yang ramai serta kerugian yang banyak, maka ia mengambil masa. Namun berapa lama tempoh siasatan itu tidak dimaklumkan," katanya pada sidang media selepas serahan surat kepada Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, pada pertemuan itu, pihaknya menyerahkan surat memohon status perkembangan semasa mengikut Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah yang memberi kuasa kepada pengadu untuk memohon perkembangan kes.

Beliau berkata, MHO memohon supaya siasatan dipercepatkan kerana khuatir wang pelaburan mangsa akan dilenyapkan sindiket.

Malah katanya, sindiket penipuan juga sering mengubah 'identiti' atau syarikat baharu untuk meneruskan penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

Kata beliau, SC diberi tempoh 180 hari untuk siasatan dan maklum balas sebelum tindakan peringkat mahkamah serta Jabatan Peguam Negara akan diambil jika tiada maklum balas diberikan sehingga Oktober ini.

Harian Metro menerusi laporan khas sebelum ini melaporkan, lebih 500 mangsa mendakwa diperdaya sindiket skim pelaburan patuh syariah membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion.

Sindiket penipuan itu menggunakan syarikat berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat ala patuh syariah dengan menawarkan skim pelaburan.

Mereka juga menggunakan nama besar dan individu kenamaan, selain menggunakan nama institusi perbankan terkemuka.

Taktik ini menyebabkan ramai tertipu kerana yakin syarikat yang mereka labur itu sah disebabkan ada sijil patuh syariah dan kebenaran SC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:06 PM
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mewakili pengadu mangsa penipuan syarikat pelaburan hadir memohon status perkembangan semasa kes penipuan pelaburan tersebut di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mewakili pengadu mangsa penipuan syarikat pelaburan hadir memohon status perkembangan semasa kes penipuan pelaburan tersebut di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. FOTO HAZREEN MOHAMAD