FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Roji Kawi


Kuching: "Saya langsung tidak menyangka orang yang saya kenali membuatkan saya kehilangan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang saya keluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu," kata mangsa penipuan skim pembelian rumah di Sibu dekat sini.

Wanita berusia 57 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mama Popo berkata, dia amat yakin dengan perwatakan baik lelaki berusia lingkungan 30-an yang ketika menawarkan skim pembelian rumah kepadanya pada 2019.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak yakin dengan tawaran itu, namun lelaki itu yang juga ejen sebuah syarikat pelaburan hartanah mendakwanya turut membeli rumah yang akan dibina di Dudong, Sibu itu.

"Selepas tertarik dan yakin dengan tawarannya, saya membayar sebanyak RM32,500 yang dibuat dalam dua transaksi pada Mac dan April 2020 menerusi akaun bank yang diberikan oleh ejen itu.

"Selepas PKP tamat pada 2022, saya menerima semua dokumen termasuk surat yang ditandatangani peguam selain ejen menunjukkan model rumah contoh...apa lagi, saya percayalah dan amat gembira," katanya.

Dia berkata demikian ketika bersama kira-kira 40 mangsa penipuan syarikat terbabit berkumpul di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak ketika Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di sini, hari ini.

Wanita yang berasal dari Nanga Tekalit, Katibas di Song itu berkata, harapannya musnah selepas mengetahui projek perumahan di Dudong itu tidak dilaksanakan.

"Saya kemudiannya mencari ejen yang saya kenali itu namun dia kata projek itu tidak jadi dan saya menuntut wang dikembalikan namun, dia kata itu tidak boleh dilakukan.

"Mendengar penjelasan ejen itu, luluh hati saya mengenangkan wang KWSP hasil kerja kilang yang saya keluarkan ketika pada usia 55 tahun yang kebetulan ketika PKP itu lesap begitu sahaja," katanya.

Menurutnya lagi, dia bertambah terkilan apabila termakan pujukan lelaki itu supaya mempelawa orang lain untuk bersama menyertai skim berkenaan.

"Saya berasa amat bersalah kerana membawa bersama pak cik dan mak cik saya untuk menerima tawaran membeli rumah itu.

"Kini mereka berdua juga kehilangan wang dalam jumlah yang besar hanya kerana mengimpikan rumah yang ditawarkan oleh ejen itu," katanya.

Seorang lagi mangsa berasal dari Kampung Pulau Melayu, Miri yang enggan nama disiarkan berkata, dia kerugian sebanyak RM147,500.50 selepas tertarik dengan promosi skim pembinaan rumah di tanah sendiri yang dibuat oleh syarikat terbabit di Miri pada hujung 2019.

Lelaki berusia 40-an yang bertugas sebagai guru itu berkata, ejen syarikat terbabit memaklumkan pembeli boleh menyediakan sendiri reka bentuk rumah yang akan dibina.

"Saya dimaklumkan, jika mengikut reka bentuk yang saya mahukan, syarikat terbabit akan membinanya dengan kos RM300,000.

"Selepas perjanjian ditandatangani saya diminta membuat pembayaran pertama dan syarikat turut menawarkan untuk menambak tapak berikutan tanah saya itu berada dalam kawasan tanah lembut dan saya bersetuju," katanya.

Menurutnya, selepas ditambak, pihak syarikat memaklumkan perlu masa selama enam bulan barulah kerja-kerja menanam cerucuk dapat dijalankan.

"Memang betul, selepas enam bulan, sub kontraktor datang membawa semua peralatan untuk menanam cerucuk.

"Tetapi selepas seminggu peralatan dihantar, kerja masih tidak dijalankan dan saya bertanya apa masalah? Sub kontraktor itu kata mereka tidak dapat meneruskan kerja kerana kontraktor utama belum membayar mereka," katanya.

Tersentak dengan jawapan sub kontraktor itu, lelaki terbabit berusaha menghubungi syarikat, namun gagal.

"Apabila berjaya menghubungi ejen, dia memberitahu saya yang dia sudah berhenti kerja kerana syarikat itu bermasalah dan sehingga kini semua pihak dalam syarikat itu gagal dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 2:59 PM