ABU Shukor (dua kanan)  menyerahkan sumbangan Komputer Sekolah Agama Negeri Johor di Pejabat Tabung Haji Johor. FOTO Omar Ahmad
ABU Shukor (dua kanan) menyerahkan sumbangan Komputer Sekolah Agama Negeri Johor di Pejabat Tabung Haji Johor. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia bagi menunaikan ibadah haji kini mencecah 160 tahun.

Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Abu Shukor Jangga berkata, setakat ini terdapat seramai 2.5 juta pendeposit Tabung Haji (TH).

Walau bagaimanapun katanya, pihak TH tetap menggalakkan orang ramai untuk membuka akaun TH, seterusnya berdaftar untuk menunaikan ibadah haji meskipun tempoh menunggu giliran yang lama.

"Untuk makluman semua, kalau kita daftar haji tahun ini, kita kena tunggu lagi 160 tahun lagi untuk nama kita naik pergi haji.

"Itu di dalam sistem kita, sehubungan itu kita juga meminta mereka untuk sentiasa membuat rayuan terhadap pendaftar mereka.

"Cepat atau lambat pergi haji itu bukan kerja kita, sebaliknya kita berdaftar menunjukkan niat untuk ke sana sudah ada. Sekiranya individu itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji Insya'Allah pahala sudah ada," katanya selepas majlis sumbangan komputer kepada komuniti sekolah agama negeri ini di Pejabat Tabung Haji Johor, di sini, tadi..

Menurut Abu Shukor, pihaknya menyasarkan sebanyak 70,000 pendaftaran akaun baharu TH akan diterima di negeri Johor untuk tahun ini.

Katanya setakat ini kira-kira 50,000 permohonan baharu diterima.

"Jumlah selebihnya kita yakin akan dapat capai menjelang akhir tahun ini. Saya menyeru masyarakat di luar sana yang belum jadi pendeposit tabung haji untuk membuka akaun serendah RM2. Kalau ada RM1,300 boleh terus daftar haji," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Datuk Nuraslina Zainal Abidin berkata, Theta selaku anak syarikat Tabung Haji menyampaikan 804 unit komputer kepada beberapa sekolah seluruh negara sejak Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:32 PM