BANGUNAN Tabung Haji. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BANGUNAN Tabung Haji. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Herizal Amriz Hismat Alang


LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini mengingatkan para pendeposit yang tidak aktif agar mengaktifkan semula akaun mereka sebelum diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif mulai 1 Jun.

TH dalam kenyataan media berkata, dianggarkan hampir 500,000 akaun pendeposit didapati tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut.

“Kami telah mengenal pasti hampir 500,000 akaun pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut dan ia membabitkan jumlah sebanyak RM 62.8 juta,” katanya

Pengaktifan semula akaun boleh dibuat dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di cawangan TH, kaunter atau transaksi atas talian rakan strategik TH (Maybank, Bank Islam dan Bank Rakyat) serta membuat urusan simpanan di pelbagai saluran Ejen Kutipan TH sebelum 31 Mei di seluruh negara.

Selain itu TH turut mengingatkan pendeposit agar mengemaskini data peribadi agar kepentingan dan kebajikan para pendeposit terjaga

“Pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon, penamaan waris adalah penting untuk memudahkan TH menghubungi bakal-bakal haji atau waris untuk urusan penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.

“Sekiranya pendeposit gagal dihubungi, bakal haji berkemungkinan akan hilang giliran haji pada tahun berkenaan serta perlu menunggu tahun seterusnya untuk mengerjakan ibadat haji,” katanya

Di samping itu TH turut menggesa pendeposit atau anak jagaan yang telah kehilangan buku akaun untuk hadir dengan membawa kad pengenalan atau sijil kelahiran ke mana-mana cawangan TH bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau perkhidmatan TH, anda boleh menghubungi khidmat pelanggan TH (THCC) di talian 03-62071919.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 3:05 PM