TEMPOH giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun. FOTO Arkib BERNAMA
TEMPOH giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun. FOTO Arkib BERNAMA
BERNAMA

Makkah: Tempoh giliran menunggu umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji kini mencecah 148 tahun, menurut Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata pada masa ini, lebih 3.8 juta pendeposit TH sudah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Justeru, Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia mengingatkan jemaah haji yang terpilih supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang berada di Tanah Suci dengan melakukan amal ibadat.

"Kita kena berpegang kepada dua kata kunci iaitu syukur dan sabar. Syukur sebab kita dapat berada di Tanah Suci selepas menunggu sekian lama serta sabar dengan setiap dugaan termasuk kerenah teman sebilik dan cuaca panas sepanjang perjalanan haji ini," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dan pelantikan Sahabat Maktab di sini.

TH menggunakan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep "Mendaftar Dahulu, Didahulukan" yang sudah dilaksanakan sejak dari 1995.

Melalui sistem pendaftaran terbuka ini, para pendeposit TH boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300.

Setiap pendeposit yang sudah mendaftar akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Malaysia menerima kuota haji berjumlah 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444 Hijrah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 1:06 PM