Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lima pemandu e-hailing didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan membenarkan enam pendatang tanpa izin (Pati) warga Indonesia berada dalam kenderaan mereka, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Taufiq Md Isa, 30, Shahrulnizam Abu Hanafi, 45, Mohd Fhairul Ariffin Shaharudin, 39, Muhammad Hafiz Rudi, 35, dan Syed Salim Syed Anuar dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah pada prosiding berasingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 Ogos lalu di pesisir Pantai Klebang dan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ayer Keroh, dekat sini antara 12 tengah hari hingga 11 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim danN Sivashangari.

Tertuduh, Mohd Taufiq, Mohd Fhairul Arifin dan Shahrulnizam diwakili peguam Omar Zulkarnain manakala Datuk Hanif Hassan mewakili Muhammad Hafiz dan Syed Salim.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Mohd Taufiq, Fairul dan Shahrul Nizam bagi setiap Pati dibawa atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.

Dalam prosiding berasingan, Hakim Dharmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap Pati atau enam bulan penjara jika gagal bayar terhadap Syed Salim dan Muhammad Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 4:49 PM
TERTUDUH ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad