TERTUDUH didenda RM35,000 setiap seorang atas kesalahan membenarkan tujuh Pati berada di dalam teksi empat tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
TERTUDUH didenda RM35,000 setiap seorang atas kesalahan membenarkan tujuh Pati berada di dalam teksi empat tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tindakan pemandu teksi dan buruh membenarkan tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) berada di dalam teksi empat tahun lalu, membawa padah apabila didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nazar Sukkur, 52, dan Khairul Nasir, 40, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan kedua-dua tertuduh dan hujah pendakwaan serta menetapkan hukuman penjara tambahan tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Nazar dan Khairul didapati dengan niat bersama membenarkan tujuh Pati berada di dalam teksi jenis Toyota Innova kira-kira jam 11.30 malam di pesisiran pantai Jalan Pokok Asam dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Disember 2018.

Bagi kesalahan itu mereka berdepan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap Pati.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan hasil maklumat Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pinang selepas disyaki terbabit kegiatan penghantaran pulang Pati warga Indonesia dan Bangladesh secara haram.

Semua migran terbabit juga sudah mengaku salah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen pada 24 Disember 2018 dan dihukum empat bulan penjara dari tarikh tangkap.

Terdahulu, Nazar dan Khairul masing-masing diwakili Peguam Datuk Baljit Singh dan Zulfiqri Zakaria merayu hukuman mereka diringankan dengan alasan pengakuan dibuat menjimatkan masa dan kos mahkamah, selain sudah insaf dan mempunyai tanggungan keluarga.

Bajlit memaklumkan anak guamnya turut menghidap darah tinggi dan sakit otot serta mempunyai seorang anak yang masih bersekolah sementara Zulfiqri menyatakan Khairul bekerja sebagai buruh bagi menyara isteri dan dua anak.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:07 PM