Mohd Hilmie Hussin


TIGA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan mengedar 201.2 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Saw Boon Kee, 34, Kuan Hseng Sieng, 38, dan Chin Gia Lin, 47, di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine berat kasar 62.5 kg di dapur sebuah rumah di Taman Belia Antarabangsa Ayer Keroh, jam 4 petang, pada 3 Mac 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah methamphetamine seberat 138.7 kg di lokasi, waktu dan tarikh sama di stor bawah tangga rumah sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

Semua tertuduh diwakili peguam Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari.

Sivashangari mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan.

Mahkamah menetapkan 23 April depan untuk serahan laporan kimia dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 10:35 PM
TERTUDUH Saw Boon Kee (depan), Kuan Hsieng Sieng (tengah) dan Chin Gia Lin (belakang) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa. FOTO Rasul Azli Samad
TERTUDUH Saw Boon Kee (depan), Kuan Hsieng Sieng (tengah) dan Chin Gia Lin (belakang) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas didakwa. FOTO Rasul Azli Samad