FAHMI menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023. FOTO  Eizairi Shamsudin
FAHMI menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram semalam membuktikan rakyat Johor menolak politik yang memainkan isu berkaitan 3R (agama, raja dan kaum).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kemenangan itu adalah satu petanda positif serta berjaya mematikan 'gelombang hijau' itu daripada menular ke Johor.

"Syukurlah, rakyat Johor menolak politik 3R kerana kita dengar pelbagai perkara dan fitnah yang dilontar serta diucapkan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan rata-rata rakyat Johor menolak politik seperti itu.

"Kita jangka selepas ini Kerajaan Perpaduan akan bertambah kukuh kerana ada beberapa perkara lagi kita sedang usahakan bagi memastikan fitnah seumpama ini tidak lagi berleluasa.

"Bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyatakan hasrat untuk melawan fitnah habis-habisan, ia bermula di sini. Jadi nasihat saya kepada PN, jadilah pembangkang yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Lembah Pantai 2023, di sini hari ini.

Semalam, PH berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 18,000.

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada PN dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.

Bagaimanapun Suhaizan menang dengan majoriti lebih rendah berbanding majoriti besar 33,174 undi diraih Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Malah PH turut berjaya mengekalkan Dun Simpang Jeram apabila menewaskan PN dengan majoriti 3,514 undi. Bekas jurutera Nazri Abdul Rahman daripada PH meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.

Dalam pada itu, ketika ucapannya dalam mesyuarat berkenaan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pelbagai isu yang dibawa oleh PN untuk memenangi hati pengundi, namun hakikatnya keputusan memihak kepada PH.

"Jelas keputusan di Johor semalam membuktikan bahawa rakyat tolak mereka yang menghina Institusi Raja-Raja Melayu, rakyat tolak mereka yang cuba mengadu domba dengan bermain politik perkauman yang sangat sempit.

"Ada yang kata sekarang ini Melayu terancam, tetapi yang berada dalam kerajaan malah dalam Keadilan (PKR) pun, hampir 80 peratus (jawatan dipegang) Melayu.

"Ada yang kata orang Melayu di Johor tolak Kerajaan Perpaduan, saya sudah teliti ia tidak benar. Kalau tak, masakan Simpang Jeram boleh menang dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berharap supaya pimpinan pembangkang dapat mengadakan perbincangan bersama kerajaan bagi mengukuhkan negara ini.

"Sebelum ini Perdana Menteri ada mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk bertemu dengan pimpinan pembangkang.

"Saya nasihatkan pimpinan pembangkang, mulakan semula perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri bagi memutuskan beberapa perkara. Saya lihat itu satu perkara yang baik kerana harapan mereka untuk membuat langkah Sheraton 2.0, tebuk atap, tebuk pintu belakang dan sebagainya tidak direstui oleh mana-mana pihak terutamanya Raja-Raja Melayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 6:17 PM