SITI Salmiah hadir mewakili anaknya yang meninggal akibat kemalangan ketika Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-36, di MSU, Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
SITI Salmiah hadir mewakili anaknya yang meninggal akibat kemalangan ketika Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-36, di MSU, Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
Suliati Asri

Shah Alam: "Konvokesyen ini adalah hari yang sangat dinanti-nantikan oleh arwah. Namun, dia pergi dulu sebelum masa ini tiba," kata Siti Salmiah Ahmad, 50, ibu kepada Allahyarham Muhammad Aiman Haziq Muhammad Asnawi Wee.

Graduan GiatMara Hulu Langat itu sepatutnya bergraduasi hari ini bagaimanapun meninggal dunia pada 6 September 2022 akibat kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal ke lokasi latihan industri.

Siti Salmiah berkata, walaupun sedih namun bangga kerana arwah berjaya dan hadiah istimewa yang ditinggalkan buat kami sekeluarga.

Katanya, arwah anak yang baik dan sangat rajin belajar serta tidak pernah menyusahkan mereka.

"Ketika mahu mendaftar di GiatMara, arwah meminta saya menemaninya dan semua yuran pendaftaran dibayar sendiri menggunakan wang gajinya.

"Dia juga ada memberitahu hasratnya untuk memakai tali leher pada hari graduasinya.

" Disebabkan itu, walau sedih terutama ayahnya yang masih trauma namun kami gagahkan juga," katanya yang ditemui pada Majlis Graduasi GiatMara Zon Tengah 2023 di Dewan Canselor Management & Science University Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, kejayaan arwah contoh terbaik yang ditinggalkan kepada adik-adiknya yang sangat rapat dengannya.

Pada majlis itu, ayah kepada arwah Muhammad Asnawi Wee menjadi wakil menerima sijil Teknologi Automotif milik anaknya.

Selain Muhammad Aiman Haziq seramai 1,082 pelatih menamatkan latihan dan menerima Sijil Profesional GiatMARA Zon Tengah yang membabitkan GiatMARA Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman.

Sementara itu, Zulfikri dalam ucapannya berkata GiatMARA kini sudah menjangkau usia 37 tahun sekali gus membuktikan institusi itu semakin maju dan matang.

"Amat perlu untuk kita semua mengubah perspektif dan pemahaman terhadap bidang kemahiran atau pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

"Mungkin 20 tahun yang lalu, TVET dianggap sebagai kelas kedua berbanding aliran akademik dalam kalangan remaja dan belia, namun pada hari ini TVET sebenarnya sudah diangkat nilainya menjadi aliran alternatif untuk melangkah maju ke hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 4:48 PM