PENGERUSI Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Marina. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
PENGERUSI Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Marina. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


"WALAUPUN di saat hampir menghembuskan nafas terakhir, Aiman masih bertanya tentang keadaan saya dan adik-adiknya," kata Marina Ag Hitam, 45.

Marina adalah ibu kepada Allahyarham Muhammad Aiman Alias, 22, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pada 19 Februari lalu.

Menurutnya, sebelum itu anaknya yang juga pembantu tukang masak dipercayai mengalami kemalangan di tempat kerjanya di sebuah resort di Pulau Perhentian kira-kira 10.45 pagi pada 18 Februari lalu.

"Saya dimaklumkan arwah ingin menyelamatkan rakannya daripada ditimpa pokok kelapa yang ditebang, tetapi pokok itu kemudian terbalik ke arahnya.

"Arwah dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia kira-kira 4 pagi ketika saya berada di sampingnya," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan replika cek kepada 10 penerima faedah Perkeso di Kota Putera, Kampung Raja, Jertih, hari ini.

Marina layak menerima faedah orang tanggungan dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 daripada Perkeso.

Katanya, pemergian arwah amat dirasai kerana dia menjadi tulang belakang keluarga selepas suaminya, Alias Che Kob, 55, meninggal dunia pada 12 September tahun lalu.

Menurutnya, arwah yang juga anak sulung daripada lima beradik seorang pendiam, tetapi suka membantu keluarga dan rakannya.

Katanya, sejak November tahun lalu, dia bercuti apabila resort tutup dan kembali semula ke sana pada awal Februari lalu.

"Alhamdulillah, bantuan dan bayaran faedah ini dapat membantu dalam meringankan sedikit bebanan keluarga.

"Ini kerana tiga anak saya masih bersekolah sementara seorang lagi menunggu panggilan melanjutkan pelajaran tinggi sedangkan saya hanya mencari rezeki dengan mengambil upah menjahit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:30 PM