ANTARA motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan menerusi Ops Bersepadu polis dan JPJ. FOTO Facebook Polis Terengganu
ANTARA motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan menerusi Ops Bersepadu polis dan JPJ. FOTO Facebook Polis Terengganu
MAZLI memeriksa motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan menerusi Ops Bersepadu polis dan JPJ. FOTO Facebook Polis Terengganu
MAZLI memeriksa motosikal yang ditahan kerana pelbagai kesalahan menerusi Ops Bersepadu polis dan JPJ. FOTO Facebook Polis Terengganu
Zaid Salim


Kuala Nerus: Polis menahan lebih 100 motosikal menerusi Ops Bersepadu di seluruh negeri ini, sejak Khamis lalu sehingga hari ini.

Difahamkan, operasi bersama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dijalankan susulan penganjuran sebuah acara perhimpunan penunggang motosikal di negeri ini, selain aduan orang ramai terhadap segelintir peserta perhimpunan itu yang didakwa menimbulkan suasana bingit dan tidak selesa kepada penduduk.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan dalam operasi itu dilakukan menerusi sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan.

"Pelbagai kesalahan dikesan seperti penunggang tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, ubah suai nombor pendaftaran dan pelbagai kesalahan lain.

"Polis masih melakukan proses dokumentasi. Setakat ini lebih 100 motosikal ditahan dan saman akan dikeluarkan mengikut kesalahan masing-masing," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penganjuran perhimpunan penunggang motosikal berkenaan tetapi pemilik motosikal seharusnya tidak mengambil kesempatan melanggar kesalahan jalan raya.

"Polis dapati, ada peserta yang datang ke acara ini menggunakan laluan tikus bagi mengelak SJR, ada juga mengangkut motosikal menggunakan pacuan empat roda kerana motosikal terbabit sudah diubah suai.

"Operasi ini akan diteruskan sehingga tamat acara perhimpunan itu. Polis melakukan SJR bermula dari sempadan membabitkan laluan lebuh raya dan jalan pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 3:24 PM