Orang ramai memenuhi reruai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan, permainan, jualan dan promosi yang disediakan. di Karnival Jom Heboh (KJH) di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Orang ramai memenuhi reruai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan, permainan, jualan dan promosi yang disediakan. di Karnival Jom Heboh (KJH) di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Karnival Jom Heboh (KJH) memasuki hari kedua terus meriah dengan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak awal pagi di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.

Tinjauan mendapati, orang ramai sanggup datang seawal jam 7 pagi dan memenuhi reruai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan, permainan, jualan dan promosi yang disediakan.

Malah cuaca panas juga tidak menjadi penghalang untuk orang ramai mengelilingi perkarangan 140 reruai pameran yang disediakan sambil membeli dan berhibur bersama keluarga.

Bagi suri rumah, Maizatul Akmal Rani, 57, berkata, ini kali pertama mereka sekeluarga menghadiri KJH yang disifatkan sangat meriah.

"Bagi mengelakkan kesesakan jalan disebabkan ramai yang datang ke KJH, kami sekeluarga

yang tinggal di Kubang Kerian bertolak dari rumah pada jam 7.30 pagi.

"Saya mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membawa keluarga mengisi masa lapang selain melawat reruai yang ada di KJH serta berpeluang menemui selebriti kegemaran," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Khosimi Abdul Rahman, 20, berkata, KJH adalah karnival yang menyeronokkan dan sesuai untuk membawa keluarga serta anak kecil malah sambutannya juga sangat memberangsangkan.

"Kebanyakan penduduk di sekitar Kelantan tidak melepaskan peluang untuk turut sama memeriahkan KJH yang setelah sekian lama tidak diadakan di negeri ini.

"Banyak aktiviti menarik yang disediakan dan walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu-lintas saya tetap menggagahkan diri untuk hadir kerana ingin melihat kemeriahan KJH," katanya.

Kelantan menjadi lokasi ketiga KJH sempena sambutan ulang tahun ke-20 yang diadakan di perkarangan RTC Tunjung di selama tiga hari bermula semalam sehingga esok.

KJH dibawakan oleh BABA'S bermula seawal jam 9 pagi setiap hari dengan pelbagai pengisian serta hadiah dan aktiviti menarik.

Antara barisan artis yang hadir Nabil Aqil, Raja Atiq, Wany Hasrita, Erma Fatimah, Datin Seri Umie Aida, Ashraf Muslim, Mekyun, Sir Asai, Izzue Islam, Mathni Razak, Asrulfaizal, Zaki Azeman, Aween Ismail, Da'i Azrin, Da'i Aiman, Kamal Affandi, Ustaz Tarmizi, Ustaz Fazrul dan Ustaz Khairol.

Selain itu, antara aktiviti menarik disediakan sepanjang tiga hari ialah pertandingan dikir barat, bercerita dan laungan azan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 12:46 PM