AHMAD Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
AHMAD Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Istilah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang digunakan di mahkamah ketika proses pendakwaan kes jenayah rasuah sering kali disalah tafsir oleh ramai pihak terutamanya dalam kalangan yang tidak mempunyai latar belakang bidang perundangan.

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Haidar Dziyauddin berkata, keadaan seumpama ini mencetuskan spekulasi dan mengakibatkan persepsi negatif terhadap pihak berkuasa serta badan kehakiman negara apabila maksud DNAA tidak difahami dengan betul dan tujuan di sebalik perundangan itu diwujudkan.

Menurutnya, perkara ini sering timbul apabila pihak media membuat liputan mengenai pendakwaan kes di mahkamah sebelum melaporkan keputusan DNAA oleh hakim.

"Lebih memberi kesan apabila ia membabitkan individu berprofil tinggi, contohnya dalam kes pendakwaan Riza Aziz anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB pada tahun 2020.

"Sebab itulah kemarahan dalam kalangan masyarakat mengenai keputusan DNAA sering kali berlaku kerana ia disalah tafsir sebagai DNA (dilepas dan dibebaskan) sedangkan kedua-dua keputusan itu adalah dua perkara yang berbeza," katanya.

Haidar berkata, menerusi DNAA, orang kena tuduh (OKT) memang akan dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika itu, bagaimanapun, individu itu pada bila-bila masa boleh dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan yang sama.

"Terdapat pelbagai situasi yang boleh mendorong kepada keputusan DNAA termasuk isu teknikal dan ramai tidak tahu ia sebenarnya memanfaatkan kedua-dua pihak sama ada pendakwaan atau defendan.

"DNAA juga membolehkan pendakwaan semula dengan bukti yang lebih kukuh, dan ini akan mendorong kepada pendakwaan yang tidak dapat dicabar pihak defendan.

"Antara kes terbesar yang diumum sebagai DNAA namun berjaya dijatuhkan hukuman adalah pertuduhan terhadap Najib apabila beliau pada 7 Februari 2019, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada keesokan harinya, bekas ahli Parlimen Pekan itu didakwa semula atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen sebelum kes itu ditamatkan apabila Najib didapati bersalah bersama empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

"Empat pertuduhan lain itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

"Secara umumnya, ramai dalam kalangan masyarakat suka membuat kesimpulan salah berhubung keputusan DNAA kerana mereka tidak betul-betul memahami betapa kompleksnya pihak berkuasa menyiasat kes membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram.

"Kes rasuah membabitkan sekurang-kurangnya dua orang. Justeru, jika individu yang terbabit ramai dan membabitkan dana yang begitu banyak, sudah tentu SPRM memerlukan masa untuk menyiasat sebelum dapat lakukan tangkapan untuk menumpaskan sindiket terbabit," katanya.

Katanya, di Malaysia, pelaksanaan DNAA tidak mempunyai had masa untuk individu terbabit didakwa semula atas pertuduhan sama.

Menurutnya, ini membolehkan pihak berkuasa mengambil masa mereka untuk melakukan siasatan terperinci.

Harian Metro semalam melaporkan selepas 77 hari dibicarakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 6:08 PM