CHUA Wei Kiat, gambar fail. FOTO NSTP
CHUA Wei Kiat, gambar fail. FOTO NSTP
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Kerajaan digesa supaya menyegerakan pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya dalam usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Chua Wei Kiat berkata, langkah itu juga penting, memandangkan timbul kesangsian banyak pihak terutama dakwaan mengaitkan kerajaan campur tangan dalam kes mahkamah.

"Kerajaan perlu segerakan reformasi terhadap peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang terletak pada individu sama. Ia perlu dipisahkan supaya keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan semakin meningkat.

"Melalui langkah ini, tiada lagi perdebatan serta kesangsian bahawa kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Chua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang berkata, keputusan itu mengejutkan rakyat Malaysia susulan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

"Saya mempunyai pemikiran yang sama dengan hakim, Collin Lawrence. Jika pihak pendakwaan tidak dapat bukti yang kukuh atau tidak ingin meneruskan lagi pertuduhan ini, masa kehakiman yang berharga akan menjadi sia-sia.

"Malah, duit pembayar cukai iaitu rakyat juga akan dibazirkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpandangan perlu ada penjelasan terperinci mengenai keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang diputuskan dalam kes itu.

"Menerusi DNAA, orang yang kena tuduh memang akan dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika itu. Bagaimanapun, individu itu pada bila-bila masa boleh dihadapkan balik di mahkamah atas pertuduhan sama.

"DNAA membolehkan pendakwaan semula dengan bukti yang lebih kukuh dan ini mendorong kepada pendakwaan yang tidak dapat dicabar pihak defendan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 11:41 AM