NAJIB (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi. FOTO Bernama
NAJIB (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi. FOTO Bernama
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memaklumkan Datuk Seri Najib Razak, boleh memohon untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dilepas dan dibebaskan (DAA) atas tiga tuduhan pengubahan wang haram dana berjumlah RM27 juta dihadapinya, pada September ini.

Hakim, K Muniandy, berkata, bagaimanapun ia jika pihak pendakwaan tidak bersedia untuk perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri berkenaan atas tuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd (SRC), selama lima hari yang bermula pada 17 September ini.

"Selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan Najib serta memandangkan hari ini (semalam) pengurusan kes, mahkamah akan menetapkan terus tarikh perbicaraan.

"Jika pendakwaan tidak bersedia dengan bicara, pihak pembelaan boleh mohon DNAA atau DAA.

"Perbicaraan pada 17 hingga 19 serta 23 dan 24 September, manakala 12 Mac bagi pengurusan kes seterusnya untuk mengetahui status dokumen, penyataaan saksi serta representasi," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Ashrof Adrin Kamarul, terpaksa memberi berita buruk bahawa representasi dihantar Najib pada 31 Julai lalu dan diterima Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2 Ogos lalu untuk menggugurkan tuduhan itu, belum dapat diputuskan.

"Dengan mengambil kira situasi terkini, pendakwaan tidak dapat memberi keputusan berhubung representasi dihantar Shafee and Co (firma guaman mewakili Najib)," katanya.

Hakim bertanyakan sama ada representasi itu boleh dianggap sebagai ditolak sebelum ia dinafikan Mohd Ashrof.

TPR itu berkata, pihaknya dengan rendah diri memohon diberi lebih banyak masa untuk memberi keputusan representasi berkenaan.

"Pada tarikh pengurusan kes sebelum ini, mahkamah maklum tidak akan pertimbangkan tarikh pengurusan kes lain, namun kami mohon satu lagi tarikh pengurusan kes.

"Jika mahkamah tidak boleh mempertimbangkannya, saya serahkan kepada budi bicara mahkamah untuk bergerak ke hadapan dalam kes ini," katanya.

Sementara itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata terlalu banyak pengurusan kes itu ditetapkan membabitkan 26 di hadapan Hakim sebelum ini, Mohamed Zaini Mazlan, dan empat di depan Muniandy.

Beliau berkata, pendakwaan dilihat berdepan kesukaran dalam membuat keputusan terhadap representasi itu yang menunjukkan tuduhan atas anak guam boleh dianggap tiada asas.

"Maka, perintah DAA boleh dikeluarkan, saya berharap ada perintah itu terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu di mahkamah ini," katanya.

Pada 1 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memberikan tarikh akhir iaitu hari ini bagi AGC menjawab representasi Najib terbabit.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 12:49 PM