Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Lelaki yang memukul bapa kandungnya menggunakan penyodok pasir sehingga mati didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh.

Tertuduh, M Jaisino, 40, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Jaisino yang juga penganggur itu didakwa membunuh E Mangalam, 74, di sebuah rumah di Taman Dato Hormat, di sini.

Perbuatan itu dilakukan pada 2.15 pagi, 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 6 Oktober depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat seorang warga emas ditemukan berbalut langsir dipercayai maut akibat dibelasah anak kandung sendiri di kediaman mangsa.

Suspek ketika itu dipercayai dalam keadaan mabuk bertindak memukul bapanya sehingga mati kerana dikatakan tidak berpuas hati terhadap mangsa yang selalu menghina dan memberi tekanan kerana malas bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 11:58 AM