GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengetengahkan cadangan untuk menubuhkan Jabatan Kanak-Kanak bagi menangani isu kanak-kanak termasuk jenayah terhadap mereka.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, sebelum ini pihaknya sudah mencadangkan perkara itu, namun ianya ditolak kerana membabitkan peruntukan yang terlalu besar.

"Tetapi pada Jumaat ini, saya sekali lagi akan kemukakan cadangan dalam mesyuarat Kabinet dengan izin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita akan terus mendesak bagi mewujudkan jabatan ini.

"Cadangan yang dibawa ini adalah holistik, yang penting kita kena usaha sebagai titik permulaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), di sini, hari ini.

Menurut Nancy, hasil lawatan mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peralatan terkini dan penambahan kakitangan untuk menangani kes-kes jenayah di bawah D11.

"Kita dapati D11 sendiri memerlukan peralatan komputer terkini dengan data tinggi bagi kes-kes pornografi selain bertukar maklumat menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa luar.

"Selain itu, perbincangan keseluruhan lebih kepada isu kanak-kanak. Pihak kementerian akan sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak polis terutama isu-isu jenayah membabitkan kanak-kanak dan wanita," katanya.

Sebelum ini, KPWKM akan mewujudkan jabatan khas bagi melindungi kanak-kanak termasuk membabitkan isu penderaan dan pengabaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 3:44 PM