Mohd Roji Kawi

Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh kehilangan mandat 'secara percuma' jika Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tidak diadakan apabila tempoh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, berakhir Jun tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pandemik Covid-19 yang sedang melanda ketika ini tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri apabila tiba masanya.

Beliau berkata, GPS mempunyai dasar jelas dan percaya kepada kuasa rakyat dalam menentukan kerajaan selaras dengan amalan demokrasi.

"Kita mesti mengadakan PRN kerana dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang, tempoh Dun Sarawak akan tamat dan bermakna kerajaan sekarang (GPS) tidak ada lagi mandat untuk memerintah.

"Justeru, kita harus menyerahkan semula kepada kuasa rakyat untuk menentukan kerajaan seterusnya dan saya amat yakin GPS akan terus membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti Rakyat Bersatu SUPP (SUPP) di Dewan Sa'ati, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Presiden Kehormat SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Timbalan Presiden SUPP, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Naib Presiden SUPP, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting dan Bendahari SUPP, Datuk Francis Harden Hollis.

ABANG Johari (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Konvensyen Tahunan SUPP di Dewan Sa'ati, Jalan Ong Kee Hui, Kuching, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
ABANG Johari (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Konvensyen Tahunan SUPP di Dewan Sa'ati, Jalan Ong Kee Hui, Kuching, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI

Walaupun mengakui keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan, Abang Johari berkata, Sarawak memerlukan kerajaan kukuh bagi menguruskan pandemik Covid-19.

"Kesan pandemik itu amat dirasai rakyat, malah ekonomi dan pembangunan kita terjejas. Oleh itu, GPS harus mendapatkan mandat baharu untuk menubuhkan kerajaan kukuh dan baik bagi menangani isu itu.

"Apabila pilihan raya diadakan nanti, saya memberi jaminan pengurusan pandemik Covid-19 di negeri ini akan dilakukan dengan sebaik mungkin agar keselamatan rakyat terpelihara," katanya.

Abang Johari berkata, antara langkah perlu diambil ialah menyekat kehadiran orang luar ke Sarawak ketika tempoh pilihan raya bagi mengekang penularan pandemik itu.

Beliau turut memberi jaminan, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP akan terus memberi keutamaan kepada rakyat ketika Covid-19 sedang melanda dan bukannya 'bermain' politik semata-mata.

"Kami dalam GPS berikrar untuk bekerja sebagai satu pasukan bukan untuk kebaikan parti, tetapi demi masa depan Sarawak yang lebih baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 3:56 PM