Orang ramai bersesak untuk mengikuti ceramah perdana sempena Bulan Kemerdekaan 2023 di Tuaran. FOTO JOHARY INDAN
Orang ramai bersesak untuk mengikuti ceramah perdana sempena Bulan Kemerdekaan 2023 di Tuaran. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Tuaran: Lebih 5,000 penonton hadir memenuhi Dewan Seri Sulaman dan padang Tuaran, di sini, untuk mendengar ceramah perdana sempena Bulan Kemerdekaan 2023, malam ini.

Walaupun hujan lebat sejak jam 8 malam, lebih 3,000 penonton yang mengikuti ceramah itu di bawah khemah besar disediakan di padang, tidak berganjak daripada tempat duduk mereka semata-mata ingin mengikut program itu menerusi skrin besar disediakan penganjur, di situ.

Ini kerana, dewan Seri Sulaman hanya mampu menampung kira-kira 2,000 penonton dalam satu masa.

Ceramah disampaikan penceramah temputan terkenal dari Indonesia, Prof Dr Ustaz Abdul Somad.

Tinjauan mendapati, orang ramai mula memenuhi ruang dewan dan membanjiri padang Tuaran seawal jam 5 petang, untuk memastikan mereka mendapat tempat duduk selesa.

Bagaimanapun, ramai pengunjung terpaksa berdiri dan sanggup basah kuyup memastikan mereka tidak terlepas mengikut ceramah istimewa itu.

Difahamkan, kehadiran orang ramai bukan hanya dari Tuaran, malahan dari Tamparuli, Kota Kinabalau, Kota Belud, Ranau dan Papar.

Program anjuran kerajaan Sabah itu, turut diselitkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan nasyid Hijjaz.

Yang turut hadir menyaksikan ceramah itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Isteri, Datin Seri Julia Salag serta beberapa menteri dan pembantu menteri kabinet negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 12:23 AM