HAJIJI pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Tuaran. FOTO Izwan Abdullah
HAJIJI pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Tuaran. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Tuaran: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi bayangan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) mungkin diadakan selepas tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang.

Ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu berkata, tempoh DUN sekarang masih panjang iaitu sehingga akhir September tahun depan.

Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui bila PRN17 diadakan memandangkan masih banyak masa untuk melaksanakan tugasan, khususnya bagi menyelesaikan beberapa isu pembangunan yang dihadapi rakyat negeri ini.

"(Bila pilihan raya), saya tidak tahu. Walaupun saya sebagai ketua sebuah kerajaan yang akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan," katanya.

Beliau ditanya sama ada sudah memikirkan bila tarikh PRN17 diadakan memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya mungkin diawalkan sejajar peningkatan 'suhu' politik di Sabah sejak kebelakangan ini.

Hajiji berkata, berikutan tempoh DUN sekarang yang masih panjang, tumpuan kerajaan negeri pimpinannya lebih kepada menyelesaikan isu yang didepani rakyat Sabah ketika ini.

"Kita masih ada banyak lagi tugasan yang perlu ditunaikan dan dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang rakyat sedang hadapi sekarang ini seperti isu air.

"Walaupun masalah air ini bukan perkara baharu dan diwarisi daripada kerajaan yang lalu tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan menyelesaikannya.

"Kita sudah mempunyai peruntukan RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek yang kita rasa kalau siap nanti akan dapat melancarkan agihan air di Kota Kinabalu dan juga daerah yang lain," katanya.

Hajiji berkata, berdasarkan usaha yang giat dilaksanakan bagi mengatasi isu air ketika ini, kerajaan negeri menjangkakan masalah air khususnya di ibu negeri dan daerah sekitarnya selesai dengan siapnya pelaksanaan projek berkaitan pada tahun ini.

Sementara itu, mengenai Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau dan isteri, Datin Seri Juliah Salag pada tahun ini, Hajiji berkata, kedatangan rakyat berbilang kaum di daerah ini ke majlis itu menjadi petunjuk yang baik dalam usaha mengukuhkan perpaduan.

"Majlis sempena Hari Raya seumpama ini kita adakan setiap tahun bagi membolehkan semua msayarakat berbilang kaum di Tuaran dapat hadir untuk sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.

"Saya amat menghargai kedatangan mereka yang berkelapangan hadir pada hari ini. Jadi ini dapat memupuk semangat perpaduan, mengeratkan silaturahim dalam masyarakat, bukan saja yang Islam tetapi semua masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di daerah Tuaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 4:49 PM