ORANG ramai membanjiri Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi mendengar ceramah penceramah terkenal, Profesor Ustaz Abdul Somad (UAS)
ORANG ramai membanjiri Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi mendengar ceramah penceramah terkenal, Profesor Ustaz Abdul Somad (UAS)
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Lumut: Seramai lebih 36,000 individu membanjiri Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk mendengar Ceramah Perdana disampaikan oleh penceramah terkenal, Profesor Ustaz Abdul Somad (UAS) malam tadi.

Ceramah Perdana anjuran TLDM yang julung kali diadakan secara besar-besaran itu bertajuk "Hijrah Madani Bersama Mujahid Samudera" bagi menghayati sambutan Maal Hijrah, khususnya dalam kalangan warga TLDM.

Program itu juga dibuka kepada orang awam yang tidak melepaskan peluang mendengar ceramah pendakwah terkenal yang kini dalam siri jelajah selama empat hari ke Malaysia bermula Khamis lalu.

Antara kupasan ceramah Ustaz Abdul Somad adalah maksud 'Hijrah' dalam konteks diri sendiri dan juga pembangunan hijrah yang holistik dalam ruang lingkup kehidupan masyarakat.

Ini jelas memperlihatkan antara objektif utama penganjuran seperti dijelaskan Pegawai Staf 1 Agama MTL, Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Abdullah bahawa maksud hijrah dalam konteks warga TLDM melalui tema sambutan `Mujahid Samudera Raya' iaitu memfokuskan kepada perjalanan kehidupan kerjaya sebagai anggota tentera.

Ia bagi menghasilkan warga `Navy People' yang terbaik untuk berkhidmat dan menabur bakti dalam TLDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

Antara yang hadir pada program itu adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; barisan tertinggi Jawatankuasa Laksamana bersama isteri masing-masing; tetamu kenamaan sekitar Manjung dan Pulau Pangkor serta mantan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Terdahulu, Ustaz Abdul Somad dan delegasi rombongan program yang tiba di Pangkalan TLDM Lumut disambut oleh Asisten Ketua Staf Pentadbiran dan Sekretariat, Laksamana Pertama Ahmad Asri Yaacob.

Abdul Somad berkesempatan melawat Kapal Diraja (KD) SRI INDERA SAKTI dan diberikan taklimat pengoperasian dan menghadiri minum petang di kapal logistik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 6:13 PM