Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan kali ke-14 merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri bermula 21 Ogos lalu.

Ucapan tahniah itu diumumkan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya'kub di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata, besar harapan rakyat untuk melihat negara dipacu ke arah yang lebih baik bagi mendepani cabaran semasa politik dan ekonomi selepas ini.

Persidangan Dun Kelantan kali ini diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, semua yang hadir perlu mengisi kedatangan dan membuat imbasan menggunakan Kod QR yang disediakan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial yang ditetapkan.

"Ucapan terima kasih juga buat warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan tugas menjalani ujian saringan Covid-19 kepada kami semalam," katanya.

Pada masa yang sama, persidangan Dun turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia pada April lalu.

Selain itu, ucapan takziah juga diberikan kepada keluarga Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail yang kehilangan salah seorang daripada ahli keluarga pagi ini.

Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan kali ke-14 kali ini diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Kompleks Kota Darulnaim. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan kali ke-14 kali ini diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Kompleks Kota Darulnaim. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:06 AM