Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pengangkutan (MOT) meneruskan inisiatif kepada rakyat dengan menyediakan tambang percuma 'myBAS Konsesi' yang menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas henti-henti MyBAS mulai hari ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dilaksanakan di tiga bandar iaitu di Seremban, Ipoh dan Johor Bahru.

Menurutnya, ia menyasarkan kepada mereka yang berkelayakan untuk menerima manfaat iaitu golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun di kawasan liputan perkhidmatan.

"Inisiatif ini dikendalikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,500 pengguna golongan sasar.

"Mereka akan menikmati manfaat subsidi kos perjalanan di ketiga-tiga bandar raya terbabit yang membabitkan keseluruhan 58 laluan," katanya kepada media ketika mengumumkan inisiatif berkenaan di Terminal One di sini, hari ini.

Loke berkata, mereka yang berkelayakan boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, terdapat lima lokasi kaunter pendaftaran yang disediakan di Seremban, Johor Bahru (7) dan Ipoh (1).

"Prosesnya sangat mudah, mereka hanya perlu sekali saja buat pendaftaran dan akan diberi pas myBAS tetapi dikehendaki perbaharuinya setiap tahun bagi tujuan kemas kini maklumat.

"Bagi golongan OKU dan warga emas, kita akan tengok bagaimana untuk pemudahkan pendaftarannya supaya mereka tak perlu perbaharui kad setiap tahun," katanya.

Beliau berharap mereka yang berkenaan dapat membuat permohonan bagi menerima manfaat itu yang bertujuan meringankan beban mereka, malah tiada had ditetapkan.

"Kita juga bercadang memperluaskan pelaksanaan tambang percuma ini ke negeri lain secara berperingkat.

"Sebelum ini, kita dapati tak ramai golongan ini yang menggunakan perkhidmatan myBAS di tiga-tiga negeri itu.

"Tapi saya yakin bila kerajaan ambil inisiatif sediakan tambang percuma ini, ramai yang akan buat permohonan dan ingin memanfaatkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 1:40 PM
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kanan) menggunakan kad Pas transit MyBAS pada Program Inisiatif Tambang Percuma “myBAS Konsesi” Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Terminal One. FOTO AZRUL EDHAM
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kanan) menggunakan kad Pas transit MyBAS pada Program Inisiatif Tambang Percuma “myBAS Konsesi” Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Terminal One. FOTO AZRUL EDHAM