GAMBAR kenangan Nur Shafika Suhaimi dan ibunya,  Noor  Lili Mariana Mat Saad. FOTO Ihsan Nur Shafika Suhaimi
GAMBAR kenangan Nur Shafika Suhaimi dan ibunya, Noor Lili Mariana Mat Saad. FOTO Ihsan Nur Shafika Suhaimi
Redzuan Muharam


Batu Caves: "Niat saya muat naik video di TikTok untuk berkongsi rasa dan melepaskan rindu selain beri kesedaran kepada orang lain supaya menghargai ibu bapa mereka," kata kerani, Nur Shafika Suhaimi.

Nur Shafika, 26, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video mengandungi gambar pusara ibu, Noor Lili Mariana Mat Saad dan layar perbualan WhatsApp dengan bapanya, Suhaimi Darus, 55, yang kini bekerja sebagai pemandu teksi.

Menerusi hantaran video berkenaan, Nur Shafika menceritakan hubungan bapa dengannya dan adik beradik bertambah rapat sejak ibunya meninggal dunia pada 7 Mei lalu.

"Dulu, abah garang dan saya tak berapa rapat sangat dengannya.

"Bagaimanapun, keadaan sekarang lebih baik dan dulu, abah selalu hantar kiriman WhatsApp kepada ibu untuk beritahu ke mana dia pergi juga apa dilakukannya.

"Kini, abah kerap mesej saya dan adik beradik pula untuk bertanya khabar mungkin kerana dia sunyi sejak ketiadaan ibu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Shafika berkata, ibunya meninggal dunia akibat sakit jantung dan menghidap penyakit itu sejak kecil.

Menurut Nur Shafika, ibunya berulang alik dari Pahang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak berumur 16 tahun lagi malah perlu menghadiri temujanji dengan doktor dua bulan serta makan ubat setiap hari.

Nur Shafika berkata, doktor sahkan ada ketumbuhan di otak sebelah kanan ibunya pada Februari lalu dan hampir sebulan juga dalam hospital sebelum dibenarkan keluar.

"Walaupun tak dapat melihat dan kakinya tak larat berjalan namun semangatnya kuat.

"Ditakdirkan, ibu pergi jua namun saya bersyukur kerana dapat menjaganya sepanjang di wad dan tunaikan hajat serta keinginannnya.

"Sejak ibu pergi, setiap minggu saya ziarah pusaranya kerana nak lepaskan rindu.

"Cuma, pastinya abah yang lebih merindui ibu kerana ketika hayat ibu, mereka suka berjalan berdua ke sana sini bagi menghabiskan masa bersama manakala kami dapat tengok gambar saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:17 PM