Aminah Mohd Sultan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini. STR/RUWAIDA MD ZAIN
Aminah Mohd Sultan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini. STR/RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang warga emas tidak pernah ketinggalan mengambil peluang menunaikan tanggungjawab kepada negara setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri.

Aminah Mohd Sultan, 86 tahun ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, di sini berkata, dia mula mengundi seawal usia 20 an sehingga kini.

"Saya memang suka mengundi, setiap kali ada pilihan raya dari usia muda sehingga kini. Saya tidak lepaskan peluang kerana ini tanggungjawab saya kepada negara.

"Saya suka datang pagi setiap kali mengundi, syukur Alhamdulillah, dapat peluang mengundi lagi. Hari ini datang bersama anak.

"Seingat saya, sudah tiga kali pilihan saya mengundi di sini. Sebelum ini, aya mengundi di Ipoh, sekarang saya menetap di sini bersama anak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aminah adalah antara ribuan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik (N40) yang berada di bawah Parlimen Shah Alam bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini.

Seramai tiga calon yang bertanding di DUN Kota Anggerik membabitkan calon gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), Najwan Halimi yang juga penyandang kerusi DUN ini.

Najwan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Sukri Omar yang juga Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor dan calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Azad Akbar Khan.

Turut kelihatan menunaikan tanggungjawab mengundi di sekolah berkenaan adalah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan beliau kini Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:29 AM