MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan membabitkan ceramah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa berunsur fitnah dan mengakibatkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, siasatan dijalankan selepas seorang individu membuat laporan polis semalam ketika dia berada di rumahnya di Alor Setar melayari YouTube dan mendengar ucapan Muhammad Sanusi.

Menurutnya, dalam ucapan terbabit, Menteri Besar Kedah didakwa mengeluar kata-kata kesat dan mengeluarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masuk ke dalam hutan simpan tanpa permit.

"Pengadu merasakan kenyataan itu satu fitnah melampau dan boleh menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Kesalahan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Skandaguru berkata, polis menerima 1,651 laporan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri sejak 27 Julai hingga semalam.

"Selangor merekodkan penerimaan laporan polis tertinggi iaitu 688 diikuti Terengganu 314, Kedah (258), Kelantan (236), Negeri Sembilan (116) dan Pulau Pinang (39).

"Sebanyak 4,300 permit ceramah dikeluarkan di semua enam negeri. Permohonan paling tinggi untuk permit ceramah adalah di Kedah dengan 938 permohonan, Selangor (891), Kelantan (842), Terengganu (728), Negeri Sembilan (466) dan Pulau Pinang (435) serta tujuh tanpa permit.

"Berdasarkan laporan yang diterima pihak polis membuka 115 kertas siasatan dengan tujuh tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 3:40 PM