GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan serta menahan dua individu, masing-masing satu di Kedah dan Pahang, atas pelbagai kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, satu kertas siasatan dibuka di Kedah mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana khianat dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan api.

Satu kertas siasatan dibuka di Pahang mengikut Seksyen 427 KK kerana khianat, dan satu lagi di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 505 (b) KK kerana mendatangkan kegusaran awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Hazani yang Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, PDRM juga mengesan 81 ceramah PRU-15 tidak memiliki permit.

"Negeri Sembilan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 kes, Perak (16), Pahang dan Johor masing-masing mempunyai lima, Kedah (empat), Terengganu (dua), Sarawak (dua), Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai satu," katanya.

Beliau berkata, PDRM telah mengeluarkan sebanyak 814 permit ceramah, dengan jumlah tertinggi permit dikeluarkan ialah di Sabah iaitu 157 permit, diikuti Perak sebanyak 109 permit dan Johor 104 permit.

"Permit yang dikeluarkan di Kedah pula sebanyak 84 permit, Sarawak (77), Pahang (70), Pulau Pinang (49), Negeri Sembilan (44), Melaka (43), Selangor (40), Kuala Lumpur (12), Kelantan (11), Perlis (sembilan) dan Terengganu (lima)", katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU-15 manakala pengundian awal pada 15 November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 2:33 PM