GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Lipis: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai bersama 28 individu yang ditahan kerana didakwa memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai (HSUJ), Lipis tanpa permit semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kumpulan individu termasuk lapan wanita dari Selangor dan Kuala Lumpur itu dibebaskan selepas pegawai penyiasat selesai mengambil keterangan.

Katanya, kumpulan terbabit disiasat kerana memasuki HSUJ tanpa kebenaran dan gagal mendapatkan permit.

"Polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan dan semua 29 individu termasuk Adun Teratai dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3 pagi hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kumpulan terbabit disiasat mengikut Akta 47(1)Akta Perhutanan Negara APN 1984 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Semalam, Adun Teratai, Bryan Lai Wai Chong antara 29 individu yang ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai tanpa permit.

Mereka ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis jam 8 pagi.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu sudah memasuki HSUJ sekitar jam 11 pagi kelmarin tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 3:13 PM