MAZLINA Ahmad. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAZLINA Ahmad. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Gurun berharap wakil rakyat yang dipilih mewakili kawasan itu, esok akan berkhidmat seperti aku janji dilafaz ketika berkempen.

Peniaga, Mazlina Ahmad, 45, berkata, calon parti mana pun yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), perlu menunaikan manifesto yang dijanjikan.

"Siapa yang menang kena buat perubahan, jangan janji kosong, kami bukan nak harapkan bantuan semata-mata tetapi, apa yang telah dijanjikan, perlu ditunaikan... menang kena buat kerjalah.

"Apa yang penting anak-anak muda mahukan peluang pekerjaan, tambahan pula kami yang tinggal di perumahan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda)," katanya ketika ditemui pada Pertandingan Sepak Penalti di Sungai Tok Pawang di sini semalam yang turut dihadiri calon Pakatan Harapan (PH) Dun itu, Mohammed Firdaus Johari.

Jurujual kereta, Amirul Hairi Abdul Jalil, 29, berkata, sebagai pengundi muda, sudah semestinya dia mengidamkan pemimpin yang menjiwai keluh kesah rakyat serta mudah didampingi.

"Kami berbesar hati jika wakil rakyat turun padang, dekat dengan kami. Kalau sudah menang, perlulah bantu dari pelbagai segi, antaranya meningkatkan fasiliti sukan, pendidikan dan kemudahan asas di kampung," katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Firdaus berkata, memanfaatkan tempoh 24 jam terakhir untuk berkempen dan membuat pecutan akhir dengan menemui seramai mungkin pengundi.

"Harapan saya, mahu pertahan Dun Gurun dan berkhidmat kepada rakyat dalam tempoh 60 bulan akan datang," katanya.

Kerusi itu sebelum ini disandang bapa Mohammed Firdaus, Tan Sri Johari Abdul sebelum melepaskan jawatan untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerusi DUN Gurun dimenangi Johari dengan 10,732 undi, mengalahkan tiga calon lain iaitu Datuk Boey Chin Gan (BN), Muzaini Azizan (PAS) dan M Palaniappan (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 2:40 PM