Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N22 Gurun, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau sudah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, beliau sudah mengutuskan surat kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan sah diterima pada 13 Disember (Selasa) lalu.

"Intipati surat tersebut berbunyi saya dengan ini memaklumkan sudah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri N22 Gurun berkuat kuasa secara serta merta.

"Di kesempatan ini saya mengucapkan ribuan terima kasih yang memberi ruang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam persidangan DUN Kedah.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Gurun dan pengundi di sana, tuan-tuan dan puan-puan berikan kerjasama yang luar biasa dan kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

"Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik kita akan berkekalan dalam memakmurkan dan membangunkan negeri Kedah," katanya dalam kenyataan menerusi video berdurasi dua minit yang tular hari ini.

Dalam video itu, Johari bagaimanapun tidak menyatakan sebab beliau mengosongkan DUN berkenaan.

Sementara itu, Juhari ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat berkenaan daripada Johari.

Katanya, pengosongan Johari kerusi DUN Gurun adalah sah.

"Saya sudah maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk tindakan selanjutnya, di pihak saya sudah tidak ada apa-apa (tindakan)," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Petani ini sebelum ini dilaporkan bakal menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara itu disahkan Johari, yang menyatakan nama beliau memang ada dalam senarai calon yang dikemukakan partinya.

Johari yang juga Timbalan Pengerusi PH Kedah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal, namun tidak menyertai pilihan raya umum lalu dan digantikan anaknya, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang menjadi satu-satunya wakil PH yang menang di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 10:53 AM