Ahmad Hasbi


Seremban: Menyerang peribadi calon lawan yang bertanding dan bercakaran antara pemimpin ketika berkempen tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat.

Calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) berkata, masyarakat kini lebih berminat untuk mengetahui apa yang boleh disumbangkan calon berbanding mendengar perbalahan yang tidak berkesudahan.

"Rakyat hari ini bukan nak dengar kita bergaduh, tapi rakyat nak dengar apa yang kita nak buat selepas ini.

"Kalau nak gaduh, hari-hari kita boleh gaduh. Tapi bagi saya yang penting kita perlu beritahu rakyat apa yang kita boleh lakukan kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas berkempen di Pasar Tani Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, beliau cuba untuk tidak menyerang peribadi pihak lawan, namun tidak dapat mengelakkan perkara itu sekiranya calon lain menggunakan sentimen sama untuk berkempen.

Fokus penyandang Dun Sikamat sejak 2008 itu kini adalah untuk berjumpa seberapa ramai pengundi di kawasan Sikamat.

"Saya akan ambil kesempatan ini untuk dengar permasalahan rakyat yang mungkin ada yang masih perlu ditambah baik," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Aminuddin berdepan Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu), Bujang Abu (Bebas) dan Mohammed Hafiz Baharudin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 12:45 PM
AMINUDDIN (dua dari kiri) berkempen bersama calon Pakatan Harapan Dun Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (tiga dari kanan) dan calon Pakatan Harapan DUN Paroi, Norwani Ahmat (dua dari kanan) di Pasar Tani Taman Paroi Jaya. FOTO Azrul Edham
AMINUDDIN (dua dari kiri) berkempen bersama calon Pakatan Harapan Dun Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (tiga dari kanan) dan calon Pakatan Harapan DUN Paroi, Norwani Ahmat (dua dari kanan) di Pasar Tani Taman Paroi Jaya. FOTO Azrul Edham