FAHMI (kanan) dan Julaihi (tengah) meninjau persiapan akhir sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
FAHMI (kanan) dan Julaihi (tengah) meninjau persiapan akhir sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kemeriahan sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, semakin terasa dengan persiapan rapi diadakan bagi memastikan kelancaran hari bersejarah itu.

Raptai penuh sambutan diadakan malam tadi dengan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut hadir bagi memantau rapi persiapan yang sedang dijalankan.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 berpuas hati dengan komitmen semua pihak yang memberi jaminan sambutan akan berjalan dengan lancar.

"Raptai penuh pun dah meriah. Insya-Allah sambutan sebenar nanti akan lebih meriah," katanya.

Turut bersama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga penyelaras sambutan, Datuk Julaihi Narawi.

Selain raptai penuh, persiapan membabitkan pemeriksaan pentas utama dan susun atur program dijalankan dengan teliti bagi memastikan kesempurnaan sambutan itu.

Hari Malaysia 2023 diraikan dengan tema 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.'

Sambutan dijadual bermula 7 malam dengan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Fatimah Mohamad Iskandar menjadi tetamu utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag akan hadir pada sambutan itu.

Pelbagai acara menarik, antaranya persembahan pembukaan tarian kontemporari berkonsepkan "Soul of Malaysia" dan persembahan khas muzikal "Segulai Sejalai" akan diadakan bagi memeriahkan lagi suasana di Stadium Perpaduan itu.

Orang ramai juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkemuka antaranya Bob Yusof dan Aina Abdul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 5:05 PM