KIBARAN Jalur Gemilang di puncak Menara Kuala Lumpur, semalam, sempena Hari Malaysia 2023 yang bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. FOTO Hairul Anuar Rahim
KIBARAN Jalur Gemilang di puncak Menara Kuala Lumpur, semalam, sempena Hari Malaysia 2023 yang bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

Putrajaya: Sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun memberi peringatan terbaik bahawa perpaduan adalah asas kejayaan negara ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Hari Malaysia merupakan satu-satunya perayaan kebangsaan yang merayakan perpaduan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

Sejak Malaysia ditubuhkan pada 16 Sept 1963, Aaron berkata perpaduan terus berkembang dan menjadi satu asas penting dalam pembentukan Malaysia yang maju.

"Penggabungan ini menyaksikan pertambahan masyarakat majmuk dengan identiti kepelbagaian kaum, budaya, agama dan adat resam yang diikat atas muafakat untuk hidup bersama.

"Ternyata kemajmukan masyarakat ini telah kita jadikan sebagai aset meniti kemakmuran sehinggakan bukan sahaja setakat menerima dan saling wujud antara satu sama lain, kita raikannya sehingga ke peringkat tertinggi sebagai ramuan kejayaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia akan menjadi contoh perpaduan yang kukuh dan makmur di rantau ini, dengan keunikan dan kepelbagaian kaum dalam negara menjadi simbol kekuatan dan kebersamaan yang disegani di mata dunia.

"Oleh itu, pemeliharaan dan penghormatan terhadap budaya dan tradisi setiap etnik di Malaysia penting untuk keharmonian sosial," katanya.

Aaron berkata jalinan integrasi dan interaksi sosial masyarakat Malaysia yang bertunjangkan kepada sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian menjadi pemacu kepada pembentukan masyarakat yang maju dan bertamadun.

Dalam memastikan perpaduan terus kukuh, Aaron berkata usaha perlu dilipatgandakan untuk memastikan kesejahteraan di Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata kemakmuran sebuah negara bergantung kepada kesatuan rakyatnya yang akan membawa kepada kestabilan, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.

"Perpecahan melemahkan kemampuan sebuah negara untuk menangani cabaran, merosakkan kepercayaan kepada institusi dan mencipta persekitaran yang mudah dieksploitasi oleh kuasa luar," katanya.

Justeru, katanya pembangunan infrastruktur yang lebih baik di seluruh negara turut menjadi faktor keharmonian sosial termasuklah pembinaan jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang dan kemudahan penting lain.

Beliau berkata usaha lain adalah untuk memperbaiki tahap pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial rakyat di semua wilayah termasuk mengurangkan jurang ekonomi dan sosial di antara wilayah.

Sambutan Hari Malaysia 2023 akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Sarawak pada hari Sabtu ini.

Tema sambutan Hari Malaysia adalah sama seperti Hari Kebangsaan 2023 iaitu "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan."

Terdapat juga tambahan cogan kata dalam bahasa Iban iaitu "Segulai Sejalai", yang bermaksud "berjalan seringan" yang turut digunakan pada hari sambutan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 1:33 PM