Suasana di sepanjang Sungai Batang Rajang yang dahulunya sibuk dengan bot ekspres kini sunyi selepas ramai memilih menggunakan jalan darat. FOTO HAIRUL ANUAR ABDUL RAHIM
Suasana di sepanjang Sungai Batang Rajang yang dahulunya sibuk dengan bot ekspres kini sunyi selepas ramai memilih menggunakan jalan darat. FOTO HAIRUL ANUAR ABDUL RAHIM

Kapit: Kapit sebuah bandar kecil yang menghubungkan banyak perkampungan tradisi masyarakat berbilang etnik melalui sungai terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Batang Rajang atau Sungai Rajang di Sarawak.

Sungai Rajang terkenal dengan perkhidmatan bot yang menjadi pengangkutan utama masyarakat tempatan sejak 1950-an sehinggalah kerajaan menaik taraf jalan dan infrastruktur luar bandar.

Suasana kehidupan juga berubah apabila penduduk memilih menggunakan jalan darat selepas jalan raya di Bahagian Kapit siap sepenuhnya menghubungkan Sibu ke Kanowit, Song dan terus ke Bandar Kapit.

Projek jalan raya sepanjang 110 kilometer menjadi pemangkin kepada kepesatan pembangunan, ekonomi dan kemajuan Bahagian Kapit apabila penduduk di pendalaman mula mendirikan rumah serta kebun selain perniagaan berhampiran.

Namun bagaikan satu kehilangan apabila Sungai Rajang tidak lagi riuh dengan enjin bot penambang serta bot ekspres dengan jumlah penumpang semakin berkurangan sehingga hanya dua pengendali bot ekspres yang masih kekal beroperasi.

Aktiviti masyarakat berjalan seperti biasa kerana ada permintaan untuk perkhidmatan bot diteruskan kerana banyak penempatan seperti rumah panjang terletak di pinggir Sungai Rajang.

Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Iban selain Orang Ulu, Melayu, Melanau, Kayan dan Cina yang bergantung kepada sumber pertanian serta pekerjaan di sektor pembalakan.

Masyarakat pelbagai etnik yang harmoni pastinya tidak akan melupakan nostalgia kemeriahan yang sudah berubah di bandar kecil ini terutama menjelang musim perayaan Gawai dan Krismas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 7:00 AM