Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas di Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas di Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sisa balak yang hanyut di Sungai Rajang sejak kelmarin, didapati memasuki Sungai Igan pula, hari ini.

Ia menyukar perjalanan bot kecil termasuk perkhidmatan bot laju yang membawa penumpang dari Dalat ke Sibu dan sebaliknya.

Seorang pengguna pengangkutan sungai di Sibu berkata, sisa balak itu didapati hanyut di Sungai Igan di lokasi berdekatan Rantau Panjang pada 9 pagi hari ini.

Menurutnya, berikutan itu banyak bot kecil terpaksa menghentikan perjalanan kerana bimbangkan keselamatan.

"Keadaan itu amat berbahaya bagi bot kecil. Ia bukan sahaja boleh merosakkan enjin malah boleh menyebabkan bot terbalik," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Jam.

Semalam, sisa balak itu yang dipercayai dari Sungai Katibas dilihat hanyut di Sungai Rajang dan melalui pekan Song dalam Bahagian Kapit.

Ia dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan yang berlaku di kawasan pedalaman Hulu Rajang, Sabtu lalu.

Longgokan sisa balak hanyut yang luar biasa jumlahnya pernah menggemparkan Sarawak pada 2010 sehingga digelar 'tsunami balak'.

Ketika itu, sisa balak hanyut selepas hujan lebat dari hulu Sungai Melatai di Sungai Baleh susulan pembalakan tanpa kawalan.

Pada 2021, kejadian sama berulang lagi apabila sisa balak dari Hulu Baleh dalam Bahagian Kapit sekali lagi hanyut di Sungai Rajang.

Kejadian sisa balak hanyut itu bukan sahaja menjejaskan penduduk yang menjadikan sungai sebagai jalan perhubungan tetapi turut menjejaskan ekosistem sungai apabila pelbagai spesies hidupan sungai terancam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:26 PM