DR Nujaimin (dua dari kanan) bersama sembilan lagi ahli keluarganya menabur khidmat bakti menjalankan kerja amal khatan kepada masyarakat di Bumi Kenyalang. FOTO Bernama.
DR Nujaimin (dua dari kanan) bersama sembilan lagi ahli keluarganya menabur khidmat bakti menjalankan kerja amal khatan kepada masyarakat di Bumi Kenyalang. FOTO Bernama.
BERNAMA

SELAIN lebih separuh kanak-kanak dan remaja terbabit dalam program berkhatan beramai-ramai di Sungai Asap, Belaga terdiri daripada peserta bukan Islam, keunikan aktiviti tahunan ini turut diserikan dengan kehadiran sebuah keluarga seramai 10 orang memberi khidmat amal khatan kepada masyarakat setempat.

Mereka terdiri daripada sepasang suami isteri bersama tiga anak, ayah dan ibu mereka serta seorang adik lelaki bersama isterinya dan anak mereka.

Pakar Perunding Bedah Saraf Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Dr Nujaimin Udin, 43, bersama ahli keluarganya datang dari jauh untuk menabur khidmat bakti menjalankan amalan khatan kepada masyarakat di Bumi Kenyalang.

Ia adalah pembabitan kali kedua mereka selepas menyertai program sama di kawasan sekitar Kuching, tahun lalu.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Dr Nujaimin berkata, mereka sekeluarga terbabit secara langsung pada tahun ini di empat tempat berbeza bermula di Song, Kapit, Belaga dan Sungai Asap, dari 24 hingga 30 November.

“Kami satu keluarga seramai 10 orang terdiri daripada saya, isteri (Dr Sharifah Razlina Tuan Muda) bersama tiga orang anak; ayah dan ibu saya serta seorang adik lelaki bersama isteri dan anak mereka hari ini menjalankan khidmat amal khatan di empat lokasi yang berada di sepanjang Batang Rajang di Bahagian Kapit.

“Sebagai doktor, saya dan isteri mengkhatankan peserta terlibat, adik lelaki serta isterinya yang juga jurutera mengendalikan alatan perubatan, tiga anak membantu kerja am manakala ayah dan ibu bertindak membantu menenangkan peserta yang datang berkhatan,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Sungai Asap.

Seramai 70 kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 20 tahun dari kawasan Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap terbabit dalam program berkhatan beramai-ramai bersempena Karnival Kesihatan dan Sunathon 2018 anjuran Yayasan Ikhlas dan Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit.

Secara keseluruhan program dibuka kepada peserta Islam dan bukan Islam itu turut membabitkan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Urusetia Saudara Kita (USK) serta beberapa NGO lain memberi khidmat khatan kepada 227 kanak-kanak dan remaja di empat lokasi itu.

Dr Nujaimin berkata, mereka sekeluarga meraih pengalaman amat bermakna sepanjang tempoh program khatan itu termasuk perlu bergerak menggunakan bot ekspres menyusuri Batang Rajang.

“Kami sekeluarga terbabit bermula di Song, Kapit, Belaga dan di Sungai Asap. Alhamdulillah perjalanan jauh tetapi suasana di sepanjang Batang Rajang menarik tidak membosankan, malah menggembirakan kami.

“Insya-Allah pada tahun hadapan, kami akan terbabit lagi,” katanya.

Dr Nujaimin berkata, mereka sekeluarga aktif dan sering melibatkan diri dalam program amal khatan beberapa kawasan di pedalaman negara serta di luar negara seperti di Kemboja, Vietnam, Selatan Thailand dan Aceh, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 3:10 PM