Longgokan sisa kayu balak hanyut di Sungai Baleh, Kapit, baru-baru ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Longgokan sisa kayu balak hanyut di Sungai Baleh, Kapit, baru-baru ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Kerajaan Sarawak menubuhkan jawatankuasa pasukan petugas khas yang diketuai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli bagi mengendalikan siasatan longgokan sisa kayu balak hanyut di Sungai Baleh, Kapit baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai agensi serta jabatan kerajaan selain pemegang taruh.

"Jawatankuasa itu akan mengendalikan siasatan mengenai insiden dan untuk mencari jalan penyelesaian bagi memantau isu berkenaan.

"Berdasarkan penilaian di lapangan serta pengawasan udara dilakukan Jabatan Hutan serta agensi kerajaan lain mendapati kejadian disebabkan pengumpulan serpihan kayu balak di tapak binaan Empangan Hidroelektrik (HEP) Baleh, ia kemudian keluar melalui lencongan saliran dan memasuki Sungai Rajang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, longgokan kayu balak hanyut bukan sahaja menjejaskan penduduk tetapi turut membunuh pelbagai spesies hidupan termasuk ikan di sepanjang Sungai Baleh dan Sungai Batang Rajang.

Menjelaskan lanjut, katanya, antara agensi terbabit dalam penilaian itu ialah Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 10:51 AM