Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meminta menantunya pulang untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Perdana Menteri itu mempersoalkan, sekiranya tidak bersalah kenapa menantu Muhyiddin melarikan diri.

"Buktikan di mahkamah dan hadapi kebenaran dan perbicaraan. Kalau tidak bersalah kenapa takut dan lari.

"Hadapi pertuduhan dan perbicaraan. Saya juga menghadapi pertuduhan dan saya mengaku tidak bersalah. Mahkamah menentukan tarikh dan saya tidak pernah lari.

"Saya khuatir menantu Muhyiddin lari ke luar negara, saya khuatir ada kesalahan yang dilakukannya. Justeru, Muhyiddin (perlu) memanggil menantunya pulang," katanya pada sidang media di Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Nelayan Tok Bali di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, kenyataan media SPRM kelmarin menyatakan agensi itu sedang mengesan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan peguam, Mansoor Saat, 69, bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Hari ini, peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Muhammad Adlan dilaporkan berkata, kenyataan media SPRM meminta bantuan untuk mengesan anak guamnya itu sama sekali tidak diperlukan dan dilihat sebagai percubaan untuk memburuk dan mengaibkan.

Beliau turut memaklumkan, Muhammad Adlan akan kembali ke Malaysia secepat mungkin untuk membantu siasatan SPRM selagi unsur ancaman dan penganiayaan dihapuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 5:46 PM