MAHDZIR Khalid. FOTO arkib NSTP
MAHDZIR Khalid. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) akan mewajibkan Menteri Besar dan barisan Exco mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, itu adalah antara empat teras utama manifesto yang ditawarkan PH-BN bagi menghadapi PRN kali ini.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Menteri Besar dan Exco diwajibkan mengisytihar harta kepada SPRM setiap dua tahun.

"Kami juga akan menubuhkan lebih ramai anggota jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) selain memastikan Exco kerajaan negeri dibarisi oleh sekurang-kurangnya dua wakil anak muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata, kerajaan perpaduan Kedah Madani turut menawarkan rangka pengurusan ekonomi secara dinamik berdasarkan asas pertanian sedia ada, sumber tenaga terlatih dan sumber semula jadi untuk pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif serta berdaya saing.

"Bagi memastikan ketelusan ini sentiasa diutamakan, ketua pembangkang akan dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Kedah.

"Jentera pentadbiran negeri juga akan menyusun dan memperkemaskan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya saing," katanya.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah menjelaskan generasi muda yang berdaya saing akan mendapat tempat cukup istimewa dalam kerajaan perpaduan Kedah Madani.

Katanya, bagi segmen anak muda, Mahdzir berkata, BN-PH akan memperkenalkan Program Perumahan Sewa-Untuk-Miliki dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagi memberi peluang kepada keluarga muda memiliki rumah pertama.

"Kerajaan Perpaduan Kedah Madani juga akan mewujudkan Rumah Transit kepada anak muda yang layak dengan kadar sewa berpatutan di kawasan strategik.

"Turut dilaksanakan ialah program perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik untuk golongan B40 serta M40 di bandar atau pinggir bandar, berasaskan keperluan," katanya.

Sementara itu, Mahdzir yang calon BN DUN Pedu berkata, program Kasih Ibu Darul Aman juga akan diperkenalkan semula untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup melalui pembelian barangan keperluan asas bulanan dan rawatan kesihatan.

Program itu turut menekankan bimbingan latihan kemahiran dan keusahawanan, selaras dengan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negeri itu.

"Tumpuan juga diberikan kepada usaha menggembleng tenaga bersama agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam menyampaikan dasar bermanfaat kepada rakyat. Ini termasuk golongan pesakit terlantar dan kronik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 3:13 PM