Mahdzir (tiga dari kiri, duduk) beramah mesra dengan penduduk setempat. FOTO Amran Ahmad
Mahdzir (tiga dari kiri, duduk) beramah mesra dengan penduduk setempat. FOTO Amran Ahmad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan bersedia mengkaji kaedah bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu terutama dalam kalangan pelajar sekolah vernakular untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain itu, kementerian juga akan mengkaji kaedah bagi memantapkan program dan silibus ke arah integrasi nasional.

Sehubungan itu beliau menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu memastikan pelajar sekolah vernakular mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam mengukuh perpaduan di negara ini.

“Kita lihat perlu penguasaan bahasa Melayu kerana jika tidak menguasainya bagaimana hendak kuasai yang lain.

"Selain itu subjek dan silibus sekolah juga akan dikaji berkaitan isi kandungannya dalam mengukuh perpaduan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Tekai, di sini, tadi.

Mahdzir berkata, kementerian memandang serius saranan Perdana Menteri dan kewujudan Institut Perguruan Guru Malaysia (IPGM) yang mempunyai khusus bahasa Melayu membolehkan bakal guru mahir menguasai bahasa itu untuk mengajar di sekolah termasuk sekolah vernakular.

"Malah kementerian juga ada program kursus semula kepada guru selepas beberapa tahun mengajar bagi meningkatkan kemahiran mereka," katanya.

Perdana Menteri semalam berkata, kerajaan komited memastikan pelajar aliran Cina dan Tamil mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam mengukuhkan perpaduan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 7:34 PM